Khat grafiti

>> Sabtu

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

BERDAKWAH menerusi khat grafiti menjadi matlamat Mohammed.

Mohammed gabung 'contengan', kaligrafi sampai mesej kesedaran

BAGI artis grafiti, dinding yang menjadi medium mencurah kreativiti bukan sekadar menjadi bahan tatapan peminat. Apa yang lebih penting, ada mesej yang mahu disampaikan mereka pada setiap semburan mahupun calitan cat.

Artis grafiti mahu meluahkan apa yang terpendam dalam hati melalui karya mereka. Kadang kala curahan rasa itu berbentuk kritikan dan jiwa yang memberontak. Ada ketikanya, pengkarya mahu menunjukkan sokongan dan berkongsi kegembiraan.

Biarpun tidak habis persepsi negatif dilemparkan terhadap seni grafiti yang mengaitkannya dengan unsur vandalisme, ada banyak aspek positif boleh ditemui dalam seni grafiti. Misalnya, iniasitif artis grafiti dari Birmingham, United Kingdom (UK) ini, Mohammed Ali, 30, ini wajar dinilai.

Mohammed yang dikenali dengan nama Aerosolarabic, cukup popular sebagai artis grafiti yang menghasilkan karya berunsur Islamik. Gabungan unik grafiti yang bersifat urban dan unsur spiritual mewujudkan hubungan antara individu berlainan komuniti serta budaya. Ini sekali gus membuka perhatian mereka kepada isu sejagat.

Mohammed sering diundang mempamerkan kreativiti sambil berkongsi pandangan berhubung isu budaya dan agama di seluruh dunia. Sentuhan grafiti dan mural lakarannya terpamer di kota besar seperti New York, Chicago, Toronto, Melbourne dan Dubai.
MOHAMMED menyiapkan dinding dihiasi khat grafiti.

Baru-baru ini, Mohammed berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menjayakan program Knowledge & Arts Tour 2009 yang dianjurkan Young Muslims Project dengan kerjasama British Council; Asia E University; Yayasan Rasma dan Muslim Professionals Form.

Dalam program itu, Mohammed sempat melakukan demonstrasi karya grafitinya serta berkongsi pengalaman dengan peserta program yang sebahagian besarnya golongan muda.

Dalam temubual XY - Ikon Lelaki bersama Mohammed, beliau menceritakan bagaimana mula terjebak dengan dunia grafiti pada usia 10 tahun.

Katanya, ketika itu, budaya hip hop cukup popular dan menjadi ikutan remaja termasuk dirinya. Ini membawanya mencuba setiap cabang budaya hip hop dari tarian, emcee hinggalah seni grafiti itu sendiri.

“Namun, antara semua cabang hip hop ini, saya lebih serasi dengan seni grafitti,” katanya membuka cerita.

Idea menggabungkan seni grafiti dengan kaligrafi Islam timbul selepas berlaku perubahan besar dalam dirinya. Mohammed mula berfikir lebih mendalam mengenai kehidupan lebih-lebih selepas ditimpa nahas jalan raya.

“Saya terfikir, ke mana saya akan pergi dan apa yang akan saya tinggalkan apabila tiada lagi di dunia ini. Biarpun dilahirkan Islam dan menerima didikan agama, saya tidak begitu meletakkan agama sebagai keutamaan berbanding perkara lain. Saya agak hedonistik (mementingkan keseronokan).

“Lalu, saya mula mencari semula identiti diri dan pencarian itu akhirnya membawa saya semula kepada Islam,” kata Mohammed.

Keputusan kembali ke pangkal jalan dengan mendekati agama bagaimanapun tidak melenyapkan minat Mohammed kepada seni grafiti. Malah, beliau memperoleh ilham menggabungkan grafiti dengan seni tulisan bersifat Islamik, iaitu kaligrafi Arab.

“Mengapa perlu berhenti daripada seni grafiti selagi apa yang dilakukan tidak menyalahi agama? Sesetengah perkara mungkin perlu dihentikan, misalnya melukis grafiti di dinding tanpa kebenaran atau menyampaikan mesej berbaur negatif di sebalik grafiti.

“Saya melihat kedua-duanya iaitu grafiti dan kaligrafi sebagai suatu seni yang mengagumkan. Tulisan dan kata-kata yang digunakan dalam seni ini mempunyai kuasa tersendiri.

“Kaligrafi Islam membuatkan sesiapa saja kagum dengan nilai seninya walaupun mereka tidak faham dan tidak tahu membaca. grafiti pula sejak dulu menjadi ruang untuk meluahkan pendirian terhadap isu tertentu,” katanya.

Seiring perubahan identiti seni yang lebih Islamik, Mohammed tidak sewenang-wenangnya melukis grafiti di tembok atau dinding. Semua itu dilakukan atas layar kanvas. Hanya sesekali, beliau melakar kreativiti di dinding apabila diundang menyertai program yang memerlukan beliau melakukan perkara itu.

“Ramai menganggap grafiti bukan suatu seni, namun ia tetap dilihat sebagai suatu bentuk seni golongan muda.

“Sebahagian besar golongan muda menikmati seni ini di jalanan, bukan di galeri seni. Beginilah cara mereka meluahkan bakat seni,” katanya.

Terus bercerita, Mohammed berkata, kaligrafi Arab menjadi pilihannya kerana unik dan beliau amat menghargai keistimewaan seni Islamik ini.

Katanya, kita tidak perlu meniru seni grafiti ala Amerika Syarikat (AS) kerana umat Islam sendiri cukup istimewa dan unik.

“Bagi karya grafiti, saya memilih yang terbaik dari Barat dan warisan Islam. Kemudian, saya gabungkan kedua-duanya,” katanya yang sebelum ini bekerja dalam bidang rekaan permainan komputer.

Menurut Mohammed, inspirasi subjek atau tema karya grafiti lazimnya diperoleh daripada pemerhatiannya terhadap persekitaran tempat berkarya.

“Contohnya, apabila tempat berkarya itu dihuni remaja bermasalah yang terbabit dengan masalah penyalahgunaan dadah, saya akan tampilkan kata-kata berbentuk nasihat ringkas tapi sarat mesej mendalam.

“Saya sentiasa mengambil masa memahami persekitaran yang dilawati. Ini membolehkan saya mendekati isu yang berlegar dalam kehidupan mereka sebelum berkarya,” katanya.

Ditanya soal cabaran dalam mempamerkan karya grafiti Islamik, Mohammed mengakui cabaran wujud terutama ketika masyarakat dunia masih memiliki anggapan salah terhadap agama Islam.

“Menggabungkan grafiti dan kaligrafi adalah suatu cabaran. Ada komen menyatakan saya bukanlah artis grafiti sebenar. Kononnya, grafiti perlu ada elemen gaya liar serta pelbagai unsur lain yang dilihat persekitaran grafiti di New York.

“Namun, bagi saya, pengertian seni grafiti itu luas dan berkembang. Terpulang kepada artis memilih gaya karya mereka,” katanya.

Mohammed percaya seni mampu menjadi ‘ejen’ perubahan. Baginya, penggiat seni harus berusaha dan menggunakan apa saja kemampuan untuk mewujudkan perubahan positif dalam persekitaran dan di dunia.

“Seperti sabda Rasulullah SAW, jika kita melihat sesuatu yang tidak betul cuba ubah dengan tangan (perbuatan). Andai tidak mampu mengubahnya dengan tangan, ubahnya menggunakan lidah (kata-kata).

“Jika masih tidak dapat mengubahnya, gunakanlah hati biarpun ia adalah cara paling lemah,” akhiri beliau.

0 ulasan:

Catat Ulasan

  © psvcrew by PISMP-IPGM PSV Ambilan Januari 2007 IPGM Kampus Kent 2009

Back to TOP