Membela pendidikan pedalaman Sabah

>> Jumaat


ROMBONGAN Mohd. Puad ke lima buah sekolah pedalaman di Pensiangan, Sabah terpaksa melalui tiga batang sungai yang cetek hingga terpaksa mengangkat dan menolak perahu.


"TAK kenal maka tak cinta." Itulah ungkapan yang sering bermain dalam fikiran Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang selama ini hanya mendengar keluhan rakyat Sabah dari jauh terutama yang berkaitan masalah sekolah di kawasan luar bandar di negeri itu.

Berbekalkan keazaman untuk membela nasib warga pendidik dan pelajar sekolah di luar bandar, rombongan Kementerian Pelajaran baru-baru ini melakukan satu perjalanan yang jarang sekali dilakukan oleh orang Kuala Lumpur.

Mohd. Puad dan rombongannya sanggup berjalan kaki menyusuri sungai, bukit-bukau dan meredah hutan belantara sejauh 12 kilometer (km) dari Kampung Kuala Sinapar, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, Pensiangan yang terletak berhampiran dengan sempadan wilayah Kalimatan Timur, Indonesia.

Sebaik tiba di SK Saliliran, rombongan Mohd. Puad menyelami cara hidup dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk terutama berkaitan pendidikan dan keciciran pelajar.

"Selama ini saya hanya dengar keluhan rakyat di sini melalui wakil rakyat mereka dan hari ini saya lihat rungutan mereka ternyata berasas.

"Saya amat bertuah berada di sini. Walaupun baru sampai saya dapat merasakan apa yang orang kampung harapkan selama ini, kita perlu tolong mereka," katanya kepada pemberita yang mengikuti beliau ke kawasan terpencil itu.

Program turun padang memberi harapan baru kepada penduduk luar bandar khususnya di daerah Nabawan. Daerah kecil Pegalungan dan perkampungan sekitar Pensiangan terletak di bawah jagaan Pejabat Daerah Nabawan.

Selama ini hanya mereka yang tahan dan bersemangat mampu meneruskan pendidikan sehingga ke sekolah menengah di Nabawan atau di Keningau iaitu dua bahagian pedalaman di Sabah.

Sempena lawatan kerja selama tiga hari itu, Mohd. Puad mengumumkan pembinaan lebih banyak asrama di kawasan luar bandar dan sebuah sekolah menengah rendah di pekan Pensiangan, sebuah kawasan strategik yang pernah menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Pensiangan Nabawan satu ketika dahulu.

"Pembinaan asrama ini amat penting bagi mengatasi masalah murid yang terpaksa berjalan kaki meredah hutan ke sekolah. Terutamanya pelajar atau murid SK Saliliran yang terdiri daripada penduduk Kampung Saliliran, Kampung Lilimpi, Kampung Siubol, Kampung Holobon, Kampung Tampuluk dan Kampung Malalia.

"SK Saliliran adalah sekolah pilihan mereka kerana di sekitar kawasan itu tidak ada sekolah rendah dan kedudukan geografinya yang berbukit-bukau dan berjauhan antara satu dengan yang lain," kata beliau. Berdasarkan tinjauan, antara kekangan utama mengapa berlakunya keciciran ialah faktor kemiskinan serta jarak sekolah yang jauh dari kampung asal pelajar.

Sebenarnya, isu seumpama inilah yang cuba diatasi segera oleh Kementerian Pelajaran yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat termasuk di luar bandar, yang jelas menuntut pengorbanan besar termasuk mengadakan program turun padang seperti yang dilakukan di Nabawan.


MOHD. PUAD beramah mesra dengan murid-murid berketurunan Murut di Sekolah Kebangsaan Tinanduk dalam siri lawatannya ke enam buah sekolah di pedalaman Pensiangan, Sabah baru-baru ini.


Mohd. Puad berkata, sebagai contoh murid dari Kampung Kabu iaitu kampung yang bersempadan dengan Lumbis, Indonesia di Nabawan mengambil inisiatif menjadikan sebuah rumah guru sebagai asrama. Penduduk kampung secara bergilir-gilir setahun sekali akan menjaga penghuni asrama itu.

"Hanya apabila cuti sekolah, mereka akan pulang ke kampung dengan meredah hutan selama lapan jam dan berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika dalam perjalanan termasuk ancaman binatang buas," katanya.



Kos pengangkutan


Mohd. Puad berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab dalam soal pendidikan beliau akan memastikan masalah yang dihadapi murid dan warga pendidik di sekolah-sekolah terpencil diatasi.

Sementara itu, Antabu Enih yang merupakan Ketua Kampung Kabu menyambut baik cadangan kerajaan untuk membina sebuah sekolah menengah di kawasan itu.

"Dengan adanya sebuah sekolah menengah di kawasan ini sudah pasti lebih ramai pelajar dari mukim ini dapat meneruskan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

"Untuk bersekolah di Nabawan, ia memerlukan perbelanjaan yang cukup besar termasuk kos pengangkutan yang tinggi. Sebab itulah ramai pelajar yang tercicir dan apabila ada sekolah menengah di Pensiangan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami," kata Antabu.

Antabu mempunyai dua orang anak bersekolah di Nabawan. Tidak lama lagi seorang lagi anaknya akan masuk ke alam persekolahan. Anak sulungnya kini bersekolah di Indonesia yang terletak di kawasan sempadan Pensiangan-Kalimatan Timur dan menumpang dengan saudara-mara.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Saliliran, Agim Sula, perhatian yang diberi oleh kerajaan untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan dapat dilihat daripada kesungguhan yang ditunjukkan oleh Mohd. Puad yang sanggup berjalan kaki untuk melihat sendiri keperluan penduduk di kawasan itu.

Selain SK Saliliran, Mohd. Puad turut melawat SK Kuala Salong, SK Pensiangan, SK Loggongon, SK Tinanduk dan SK Sibanggali dalam lingkungan kawasan daerah kecil Pagalungan.

Turut menyertai rombongan itu ialah Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin, Ketua UMNO Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin dan Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk. - Bernama


Sumber : www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

  © psvcrew by PISMP-IPGM PSV Ambilan Januari 2007 IPGM Kampus Kent 2009

Back to TOP