Muzium Singapura terbit buku lukisan Latiff Mohidin

>> Rabu



SINGAPURA 5 Mei - Beberapa lukisan terpilih hasil karya artis terkenal Malaysia, Latiff Mohidin sejak empat dekad yang lepas telah dikumpul dan dikeluarkan semula melalui sebuah buku oleh sebuah muzium Singapura.

Buku bertajuk Latiff Mohidin: Journey to Wetlands and Beyond, diterbitkan oleh Muzium Kesenian Singapura mengandungi 120 lukisan dari tahun 1962 hingga 2006 hasil karya Latiff, 68, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Eksekutif Lembaga Warisan Nasional Singapura, Michael Koh hari ini melancarkan buku itu bersempena pameran hasil karya Latiff di muzium itu di Jalan Bras Basah di sini.

Pameran itu menjadi kenyataan selepas peminat setia dan pengumpul bahan seni Singapura, Yeap Lam Yang menderma 120 karya lukisan Latiff daripada koleksinya kepada Muzium Kesenian Singapura tahun ini.

Pameran itu yang juga termasuk beberapa hasil karya Latiff yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini seperti Guilin, Isfahan, Samarkhan dan Bukhara akan diadakan sehingga 17 Mei ini.

Buku setebal 160 muka surat itu menyelusuri kemajuan Latiff dalam pengkaryaan semasa beliau berumur sembilan tahun semasa tinggal bersama bapanya di Jalan Java di Singapura sehingga sekarang.

Latiff mengadakan pameran hasil seninya buat pertama kali semasa berumur 10 tahun di Sekolah Melayu Kota Raja di Singapura, sehingga mendapat gelaran 'budak ajaib yang berbakat' daripada media tempatan.

Buku yang ditulis Prof T. K. Sabapathy dari Universiti Nasional Singapura dan Penolong Kurator Muzium Kesenian Singapura, Patricia Levasseur de la Motte, juga termasuk siri-siri karya seninya di peringkat awal, seperti Pago-Pago, Mindscape, Langkawi, Gelombang dan Rimba.

Latiff yang dilahirkan pada 1941 dan menuntut dalam jurusan seni di Berlin, Jerman dan pernah menetap di Paris dan New York, telah menyempurnakan pelbagai teknik penggunaan pen, dakwat, arang, pensil dan seni goresan bagi lukisan potret, alam benda dan landskap.

Latiff juga adalah seorang penyajak dan penulis yang menerima pelbagai penghargaan dan anugerah seperti Anugerah Sastera Negara dan anugerah penulisan di peringkat Asia Tenggara (S.E.A. Write) pada 1984 di Bangkok. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

  © psvcrew by PISMP-IPGM PSV Ambilan Januari 2007 IPGM Kampus Kent 2009

Back to TOP